Rubrik ini merupakan wahana untuk memperkaya pemahaman Islam kita sekaligus mengajak kita untuk merenungi kembali tentang hakekat keimanan kita, materi - materi yang disajikan dalam rubrik ini adalah buah permenungan Hadratus Syaikh Ibnu Atho'illah As-Sukandari yang tertuang dalam Kitab fenomenal Matan Al Hikam, salah satu referensi yang relevan dengan Pendadaran.
Tanda Orang yang Sombong di hadapan Allah
Hadratus Syaikh Ibnu Atho'illah As-Sukandari menulis dalam kitabnya:
Sebagian dari tanda-tanda orang yang senantiasa membangaka amal perbuatannya, berarti kurang mempunyai pengharapan terhadap rahmat Allah tatkala terjadi kekhilafan dalam dirinya,,,,,
Sudah menjadi sunatullah, bahwa manusia memiliki sifat khilaf dan lupa. Walau bagaimanapun kepandaian seseorang sekali waktu pasti melakukan kesalahan. Oleh karena itu, kita harus senantiasa memohon rahmat dan ampunan Allah.
Iblis akan menyesatkan manusia dengan hawa nafsunya, karena merasa bahwa amal ibadahnya sudah cukup untuk memasukannya ke dalam surga. Sehingga terkadang lupa, bahwa rahmat Allah sangat penting di dalam kehidupan kita.
Muslihat Iblis menyesatkan ahli ibadah adalah dengan menjadikannya tidak tergantung lagi dengan Allah, karena merasa segala ibadahnya sudah cukup untuk menyelamatkannya. padahal sesungguhnya, seseorang bisa beribadah danmengenal Allah karena rahmat Allah.
Kesombongan tersebut menjadikan seseorang merasa bahwa jika dia masuk surga itu karena ibadahnya, jika dia mendapatkan kelebihan (karomah, misalnya) maka itu adalah karena banyaknya ibadahnya, bukam karena kasih sayang (kawelasan) Alah padahal bisa juga itu istidraj.
Dalam hal ini, IBnu Qoyim Al Jauziah menyebutkan ciri-ciri orang yang celaka sebagai berikut:
1. Semakin bertambah ilmunya, semakin bertambah pula kesombongannya.
2. Semakin bertambah amalknya, bertambah pula kebanggannya dan semakin memandang rendah orang lain serta bertambah prasangka baiknya kepada dirinya sendiri.
3. Semakin bertambah usianya, semakin bertambah rakus kepada dunianya.
4. Semakin bertambah hartanya,semakin bertambah kkirnya.
Semakin meningkat derajatnya, semakin bertambah pula keangkuhannya.
Semoga Allah menjaga kita dari sifat-sifat yang demikian. Ikhwan sperguruan,mari kita gantungkan diri kita untuk selalu berharap rahmat Allah...
1: PERBUATAN ZAHIR DAN SUASANA HATI
|
SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH
BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.
Imam Ibnu
Athaillah memulakan Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita merenung kepada
hakikat amal. Amal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir
dan perbuatan hati atau suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu.
Beberapa orang boleh melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana
hati berhubung dengan perbuatan zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir
kepada hati berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Jika amalan
zahir itu mempengaruhi suasana hati, maka hati itu dikatakan bersandar kepada
amalan zahir. Jika hati dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu
dikatakan bersandar juga kepada amal, sekalipun ianya amalan batin. Hati yang
bebas daripada bersandar kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah
hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya
tanpa membawa sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya
kepada Allah s.w.t tanpa sebarang takwil atau tuntutan. Hati yang demikian
tidak menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun,
sebagai alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu.
Amalan tidak menjadi perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang
seperti ini tidak membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk
kepada perbuatan manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri
berbuat sesuatu menurut kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan
sesuatu. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had,
sempadan dan perbatasan. Oleh kerana itu orang arif tidak menjadikan amalan
sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah
s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada
di hadapan dan perbuatan makhluk di belakang. Tidak pernah terjadi Allah
s.w.t mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang atau sesuatu.Sebelum
menjadi seorang yang arif, hati manusia memang berhubung rapat dengan amalan
dirinya, baik yang zahir mahu pun yang batin. Manusia yang kuat bersandar
kepada amalan zahir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dan mereka
yang kuat bersandar kepada amalan batin adalah yang mencari faedah akhirat.
Kedua-dua jenis manusia tersebut berkepercayaan bahawa amalannya menentukan
apa yang mereka akan perolehi baik di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan
yang demikian kadang-kadang membuat manusia hilang atau kurang pergantungan
dengan Tuhan. Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun
jika mereka bergantung kepada Allah s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan
keraguan. Seseorang manusia boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau
lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan
oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati
apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan
yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah
s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah. Firman-Nya:
“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf
dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta
pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan
pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di
atas menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan
pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali pun.
Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat hati tidak berputus asa dalam
menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan
diusahakan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Kegagalan mendapatkan
sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah s.w.t.
Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia
melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan
bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Apa juga yang Allah s.w.t lakukan
kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal
tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang demikian menjadikan
orang yang beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak sekali-kali berputus
asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka sandarkan segala perkara kepada Allah
s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan tidak akan menjadi
sia-sia.
Orang yang
tidak beriman kepada Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeza.
Pergantungan mereka hanya tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di
dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan
kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat
hasil yang setimpal. Jika ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain)
gagal mendatangkan hasil, mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi.
Jadilah mereka orang yang berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat
kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak
mendapat rahmat dari-Nya.
Jika orang
kafir tidak bersandar kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan
sebahagian orang Islam juga ada yang demikian, bergantung setakat mana
sifatnya menyerupai sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan
amalan kerana kepentingan diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini
mungkin mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran
hidup di dunia.Dia mengharapkan semoga amal kebajikan yang dilakukannya dapat
mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya, kedudukannya atau
pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia juga dihindarkan
daripada bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah banyak amal
kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan keyakinannya
tentang kesejahteraan hidupnya.
Sebahagian
kaum muslimin yang lain mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di
akhirat. Mereka memandang amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga,
juga bagi menjauhkan azab api neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada
amal sangat lemah, terutamanya mereka yang mencari keuntungan keduniaan
dengan amal mereka. Mereka tidak tahan menempuh ujian. Mereka mengharapkan
perjalanan hidup mereka sentiasa selesa dan segala-segalanya berjalan menurut
apa yang dirancangkan. Apabila sesuatu itu berlaku di luar jangkaan, mereka
cepat naik panik dan gelisah. Bala bencana membuat mereka merasakan yang
merekalah manusia yang paling malang di atas muka bumi ini. Bila berjaya
memperoleh sesuatu kebaikan, mereka merasakan kejayaan itu disebabkan
kepandaian dan kebolehan mereka sendiri. Mereka mudah menjadi ego serta suka
menyombong.
Apabila
rohani seseorang bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya
mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah
duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah
s.w.t seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan
amalnya yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya
dalam bidang kerohanian dengan amal yang banyak dilakukannya seperti
berzikir, bersembahyang sunat, berpuasa dan lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan
sesuatu amal yang biasa dilakukannya atau bila dia tergelincir melakukan
kesalahan maka dia berasa dijauhkan oleh Tuhan. Inilah orang yang pada
peringkat permulaan mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui amalan tarekat
tasauf.
Jadi, ada
golongan yang bersandar kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang
bersandar kepada Tuhan melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang
kepada keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat
berpegang kepada amal zahir, iaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau
ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk
mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat
permulaan pula kuat bersandar kepada amalan batin seperti sembahyang dan
berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka
lakukan, akan berkurangan harapan mereka untuk mendapatkan anugerah dari
Allah s.w.t. Sekiranya mereka tergelincir melakukan dosa, akan putuslah
harapan mereka untuk mendapatkan anugerah Allah s.w.t.
Dalam
perkara bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu,
sama ada ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan
pengurusan sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu
yang menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah
penggunaan ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan
keberkesanan kepada ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah
s.w.t yang meletakkan keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.
Seterusnya,
sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang
lebih tinggi. Nyata di dalam hatinya maksud kalimat:
Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!”
( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )
Orang yang
di dalam makam ini tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal
yang dilakukannya namun, hatinya tetap melihat bahawa semua amalan tersebut
adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat
dari Allah s.w.t tentu tidak ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah
s.w.t berfirman:
“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku
bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya)
sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada
dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi
masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha
Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah an-Naml )
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan
dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang
dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan
yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga);
dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak
terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya
adalah kurniaan Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada
takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan
perbuatan makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan
makam ariffin iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi
bersandar kepada amal namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan amal
ibadat.
Orang yang
masuk ke dalam lautan takdir, reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t,
akan sentiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan
sesuatu. Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.
Di awal
perjalanan menuju Allah s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan
syariat. Dia melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya
hampir dengan Allah s.w.t. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah
harapannya untuk berjaya dalam perjalanannya. Apabila dia mencapai satu
tahap, pandangan mata hatinya terhadap amal mula berubah. Dia tidak lagi
melihat amalan sebagai alat atau penyebab. Pandangannya beralih kepada
kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya adalah kurniaan Allah s.w.t
kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga kurniaan-Nya. Seterusnya
terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali dirinya dan mengenali
Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil, serba kekurangan dan
faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam
segala segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya, pandangan mata
hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang menerajui segala
sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang sentiasa memandang
kepada Allah s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan berhajat
kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.
|
2: AHLI ASBAB
DAN AHLI TAJRID
|
KEINGINAN KAMU UNTUK BERTAJRID PADAHAL ALLAH MASIH MELETAKKAN KAMU
DALAM SUASANA ASBAB ADALAH SYAHWAT YANG SAMAR, SEBALIKNYA KEINGINAN KAMU
UNTUK BERASBAB PADAHAL ALLAH TELAH MELETAKKAN KAMU DALAM SUASANA
TAJRID BERERTI TURUN DARI SEMANGAT DAN TINGKAT YANG TINGGI.
Hikmat 1
menerangkan tanda orang yang bersandar kepada amal. Bergantung kepada amal
adalah sifat manusia biasa yang hidup dalam dunia ini. Dunia ini dinamakan
alam asbab. Apabila perjalanan hidup keduniaan dipandang melalui mata ilmu
atau mata akal akan dapat disaksikan kerapian susunan sistem sebab musabab
yang mempengaruhi segala kejadian. Tiap sesuatu berlaku menurut sebab yang
menyebabkan ia berlaku. Hubungan sebab dengan akibat sangat erat. Mata akal
melihat dengan jelas keberkesanan sebab dalam menentukan akibat. Kerapian
sistem sebab musabab ini membolehkan manusia mengambil manfaat daripada
anasir dan kejadian alam. Manusia dapat menentukan anasir yang boleh
memudaratkan kesihatan lalu menjauhkannya dan manusia juga boleh menentukan
anasir yang boleh menjadi ubat lalu menggunakannya. Manusia boleh membuat
ramalan cuaca, pasang surut air laut, angin, ombak, letupan gunung berapi dan
lain-lain kerana sistem yang mengawal perjalanan anasir alam berada dalam
suasana yang sangat rapi dan sempurna, membentuk hubungan sebab dan akibat
yang padu.
Allah
s.w.t mengadakan sistem sebab musabab yang rapi adalah untuk kemudahan
manusia menyusun kehidupan mereka di dunia ini. Kekuatan akal dan pancaindera
manusia mampu mentadbir kehidupan yang dikaitkan dengan perjalanan sebab
musabab. Hasil daripada pemerhatian dan kajian akal itulah lahir
berbagai-bagai jenis ilmu tentang alam dan kehidupan, seperti ilmu sains,
astronomi, kedoktoran, teknologi maklumat dan sebagainya. Semua jenis ilmu
itu dibentuk berdasarkan perjalanan hukum sebab-akibat.
Kerapian
sistem sebab musabab menyebabkan manusia terikat kuat dengan hukum
sebab-akibat. Manusia bergantung kepada amal (sebab) dalam mendapatkan hasil
(akibat). Manusia yang melihat kepada keberkesanan sebab dalam menentukan akibat
serta bersandar dengannya dinamakan ahli asbab.
Sistem
sebab musabab atau perjalanan hukum sebab-akibat sering membuat manusia lupa
kepada kekuasaan Allah s.w.t. Mereka melakukan sesuatu dengan penuh keyakinan
bahawa akibat akan lahir daripada sebab, seolah-olah Allah s.w.t tidak ikut
campur dalam urusan mereka. Allah s.w.t tidak suka hamba-Nya ‘mempertuhankan’
sesuatu kekuatan sehingga mereka lupa kepada kekuasaan-Nya. Allah s.w.t tidak
suka jika hamba-Nya sampai kepada tahap mempersekutukan diri-Nya dan
kekuasaan-Nya dengan anasir alam dan hukum sebab-akibat ciptaan-Nya.
Dia yang meletakkan keberkesanan kepada anasir alam berkuasa membuat anasir
alam itu lemah semula. Dia yang meletakkan kerapian pada hukum sebab-akibat
berkuasa merombak hukum tersebut. Dia mengutuskan rasul-rasul dan nabi-nabi
membawa mukjizat yang merombak hukum sebab-akibat bagi mengembalikan
pandangan manusia kepada-Nya, agar waham sebab musabab tidak menghijab
ketuhanan-Nya. Kelahiran Nabi Isa a.s, terbelahnya laut dipukul oleh tongkat
Nabi Musa a.s, kehilangan kuasa membakar yang ada pada api tatkala Nabi
Ibrahim a.s masuk ke dalamnya, keluarnya air yang jernih dari jari-jari Nabi
Muhammad s.a.w dan banyak lagi yang didatangkan oleh Allah s.w.t, merombak
keberkesanan hukum sebab-akibat bagi menyedarkan manusia tentang hakikat
bahawa kekuasaan Allah s.w.t yang menerajui perjalanan alam maya dan hukum
sebab-akibat. Alam dan hukum yang ada padanya seharusnya membuat
manusia mengenal Tuhan, bukan menutup pandangan kepada Tuhan. Sebahagian
daripada manusia diselamatkan Allah s.w.t daripada waham sebab musabab.
Sebagai
manusia yang hidup dalam dunia mereka masih bergerak dalam arus sebab musabab
tetapi mereka tidak meletakkan keberkesanan hukum kepada sebab. Mereka
sentiasa melihat kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan atau mencabut
keberkesanan pada sesuatu hukum sebab-akibat. Jika sesuatu sebab berjaya
mengeluarkan akibat menurut yang biasa terjadi, mereka melihatnya sebagai
kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan kekuatan kepada sebab tersebut dan
Allah s.w.t juga yang mengeluarkan akibatnya. Allah s.w.t berfirman:
Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah;
dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dialah sahaja yang menguasai
dan memiliki langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 1 & 2 : Surah al-Hadiid )
Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian anggota
lembu yang kamu sembelih itu”. (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup).
Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan
memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Nya, supaya kamu
memahaminya. ( Ayat 73 : Surah al-Baqarah )
Orang yang
melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t menerajui hukum sebab-akibat tidak
meletakkan keberkesanan kepada hukum tersebut. Pergantungannya kepada Allah
s.w.t, tidak kepada amal yang menjadi sebab. Orang yang seperti ini
dipanggil ahli tajrid.
Ahli
tajrid, seperti juga ahli asbab, melakukan sesuatu menurut peraturan
sebab-akibat. Ahli tajrid juga makan dan minum Ahli tajrid memanaskan
badan dan memasak dengan menggunakan api juga. Ahli tajrid juga melakukan
sesuatu pekerjaan yang berhubung dengan rezekinya. Tidak ada perbezaan di
antara amal ahli tajrid dengan amal ahli asbab. Perbezaannya terletak di
dalam diri iaitu hati. Ahli asbab melihat kepada kekuatan hukum alam. Ahli
tajrid melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t pada hukum alam itu. Walaupun
ahli asbab mengakui kekuasaan Allah s.w.t tetapi penghayatan dan kekuatannya
pada hati tidak sekuat ahli tajrid.
Dalam
melakukan kebaikan ahli asbab perlu melakukan mujahadah. Mereka perlu memaksa
diri mereka berbuat baik dan perlu menjaga kebaikan itu agar tidak menjadi
rosak. Ahli asbab perlu memperingatkan dirinya supaya berbuat ikhlas dan
perlu melindungi keikhlasannya agar tidak dirosakkan oleh riak (berbuat baik
untuk diperlihatkan kepada orang lain agar dia dikatakan orang baik), takbur
(sombong dan membesar diri, merasakan diri sendiri lebih baik, lebih tinggi,
lebih kuat dan lebih cerdik daripada orang lain) dan sama’ah (membawa
perhatian orang lain kepada kebaikan yang telah dibuatnya dengan cara
bercerita mengenainya, agar orang memperakui bahawa dia adalah orang baik).
Jadi, ahli asbab perlu memelihara kebaikan sebelum melakukannya dan juga
selepas melakukannya. Suasana hati ahli tajrid berbeza daripada apa yang
dialami oleh ahli asbab. Jika ahli asbab memperingatkan dirinya supaya
ikhlas, ahli tajrid tidak melihat kepada ikhlas kerana mereka tidak bersandar
kepada amal kebaikan yang mereka lakukan. Apa juga kebaikan yang keluar
daripada mereka diserahkan kepada Allah s.w.t yang mengurniakan kebaikan
tersebut. Ahli tajrid tidak perlu menentukan perbuatannya ikhlas atau tidak
ikhlas. Melihat keihklasan pada perbuatan sama dengan melihat diri sendiri
yang ikhlas. Apabila seseorang merasakan dirinya sudah ikhlas, padanya masih
tersembunyi keegoan diri yang membawa kepada riak, ujub (merasakan diri
sendiri sudah baik) dan sama’ah. Apabila tangan kanan berbuat ikhlas dalam
keadaan tangan kiri tidak menyedari perbuatan itu baharulah tangan kanan itu
benar-benar ikhlas. Orang yang ikhlas berbuat kebaikan dengan melupakan
kebaikan itu. Ikhlas sama seperti harta benda. Jika seorang miskin diberi
harta oleh jutawan, orang miskin itu malu mendabik dada kepada jutawan itu
dengan mengatakan yang dia sudah kaya. Orang tajrid yang diberi ikhlas oleh
Allah s.w.t mengembalikan kebaikan mereka kepada Allah s.w.t. Jika harta
orang miskin itu hak si jutawan tadi, ikhlas orang tajrid adalah hak Allah
s.w.t. Jadi, orang asbab bergembira kerana melakukan perbuatan dengan
ikhlas, orang tajrid pula melihat Allah s.w.t yang mentadbir sekalian urusan.
Ahli asbab dibawa kepada syukur, ahli tajrid berada dalam penyerahan.
Kebaikan
yang dilakukan oleh ahli asbab merupakan teguran agar mereka ingat kepada
Allah s.w.t yang memimpin mereka kepada kebaikan. Kebaikan yang dilakukan
oleh ahli tajrid merupakan kurniaan Allah s.w.t kepada kumpulan manusia yang
tidak memandang kepada diri mereka dan kepentingannya. Ahli asbab melihat
kepada keberkesanan hukum sebab-akibat. Ahli tajrid pula melihat kepada
keberkesanan kekuasaan dan ketentuan Allah s.w.t. Dari kalangan ahli tajrid,
Allah s.w.t memilih sebahagiannya dan meletakkan kekuatan hukum pada mereka.
Kumpulan ini bukan sekadar tidak melihat kepada keberkesanan hukum
sebab-akibat, malah mereka berkekuatan menguasai hukum sebab-akibat itu.
Mereka adalah nabi-nabi dan wali-wali pilihan. Nabi-nabi dianugerahkan
mukjizat dan wali-wali dianugerahkan kekeramatan. Mukjizat dan kekeramatan
merombak keberkesanan hukum sebab-akibat.
Di dalam
kumpulan wali-wali pilihan yang dikurniakan kekuatan mengawal hukum
sebab-akibat itu terdapatlah orang-orang seperti Syeikh Abdul Kadir
al-Jailani, Abu Hasan as-Sazili, Rabiatul Adawiah, Ibrahim Adham dan
lain-lain. Cerita tentang kekeramatan mereka sering diperdengarkan. Orang
yang cenderung kepada tarekat tasauf gemar menjadikan kehidupan
aulia Allah s.w.t tersebut sebagai contoh, dan yang mudah memikat perhatian
adalah bahagian kekeramatan. Kekeramatan biasanya dikaitkan dengan perilaku
kehidupan yang zuhud dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Timbul
anggapan bahawa jika mahu memperolehi kekeramatan seperti mereka mestilah
hidup sebagaimana mereka. Orang yang berada pada peringkat permulaan
bertarekat cenderung untuk memilih jalan bertajrid iaitu membuang
segala ikhtiar dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Sikap
melulu bertajrid membuat seseorang meninggalkan pekerjaan, isteri, anak-anak,
masyarakat dan dunia seluruhnya. Semua harta disedekahkan kerana dia melihat
Saidina Abu Bakar as-Siddik telah berbuat demikian. Ibrahim bin Adham telah
meninggalkan takhta kerajaan, isteri, anak, rakyat dan negerinya lalu tinggal
di dalam gua. Biasanya orang yang bertindak demikian tidak dapat bertahan
lama. Kesudahannya dia mungkin meninggalkan kumpulan tarekatnya dan kembali
kepada kehidupan duniawi. Ada juga yang kembali kepada kehidupan yang lebih
buruk daripada keadaannya sebelum bertarekat dahulu kerana dia
mahu menebus kembali apa yang telah ditinggalkannya dahulu untuk bertarekat.
Keadaan yang demikian berlaku akibat bertajrid secara melulu. Orang yang
baharu masuk ke dalam bidang latihan kerohanian sudah mahu beramal seperti
aulia Allah s.w.t yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan
mencampak semua yang dimilikinya secara tergesa-gesa membuatnya berhadapan
dengan cabaran dan dugaan yang boleh menggoncangkan imannya dan mungkin juga
membuatnya berputus-asa. Apa yang harus dilakukan bukanlah meniru kehidupan
aulia Allah s.w.t yang telah mencapai makam yang tinggi secara melulu.
Seseorang haruslah melihat kepada dirinya dan mengenalpasti kedudukannya,
kemampuanya dan daya-tahannya. Ketika masih di dalam makam asbab seseorang
haruslah bertindak sesuai dengan hukum sebab-akibat. Dia harus bekerja untuk
mendapatkan rezekinya dan harus pula berusaha menjauhkan dirinya daripada
bahaya atau kemusnahan.
Ahli asbab
perlu berbuat demikian kerana dia masih lagi terikat dengan sifat-sifat
kemanusiaan. Dia masih lagi melihat bahawa tindakan makhluk memberi kesan
kepada dirinya. Oleh yang demikian adalah wajar sekiranya dia mengadakan juga
tindakan yang menurut pandangannya akan mendatangkan kesejahteraan kepada
dirinya dan orang lain. Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang pada kedudukan
sebagai ahli asbab ialah apabila urusannya dan tindakannya yang menurut
kesesuaian hukum sebab-akibat tidak menyebabkannya mengabaikan kewajipan
terhadap tuntutan agama. Dia tetap berasa rengan untuk berbakti kepada Allah
s.w.t, tidak gelojoh dengan nikmat duniawi dan tidak berasa iri hati terhadap
orang lain. Apabila ahli asbab berjalan menurut hukum asbab maka jiwanya akan
maju dan berkembang dengan baik tanpa menghadapi kegoncangan yang besar yang
boleh menyebabkan dia berputus asa dari rahmat Allah s.w.t. Rohaninya akan
menjadi kuat sedikit demi sedikit dan menolaknya ke dalam makam tajrid secara
selamat. Akhirnya dia mampu untuk bertajrid sepenuhnya.
Ada pula
orang yang dipaksa oleh takdir supaya bertajrid. Orang ini asalnya adalah
ahli asbab yang berjalan menurut hukum sebab-akibat sebagaimana orang ramai.
Kemungkinannya kehidupan seperti itu tidak menambahkan kematangan rohaninya.
Perubahan jalan perlu baginya supaya dia boleh maju dalam bidang kerohanian.
Oleh itu takdir bertindak memaksanya untuk terjun ke dalam lautan tajrid. Dia
akan mengalami keadaan di mana hukum sebab-akibat tidak lagi membantunya
untuk menyelesaikan masalahnya. Sekiranya dia seorang raja, takdir
mencabut kerajaannya. Sekiranya dia seorang hartawan, takdir
menghapuskan hartanya. Sekiranya dia seorang yang cantik, takdir
menghilangkan kecantikannya itu. Takdir memisahkannya daripada apa yang
dimiliki dan dikasihinya. Pada peringkat permulaan menerima kedatangan takdir
yang demikian, sebagai ahli asbab, dia berikhtiar menurut hukum sebab-akibat
untuk mempertahankan apa yang dimiliki dan dikasihinya. Jika dia tidak
terdaya untuk menolong dirinya dia akan meminta pertolongan orang lain.
Setelah puas dia berikhtiar termasuklah bantuan orang lain namun, tangan
takdir tetap juga merombak sistem sebab-akibat yang terjadi ke atas
dirinya. Apabila dia sendiri dengan dibantu oleh orang lain tidak mampu
mengatasi arus takdir maka dia tidak ada pilihan kecuali berserah kepada
takdir. Dalam keadaan begitu dia akan lari kepada Allah s.w.t dan merayu agar
Allah s.w.t menolongnya. Pada peringkat ini seseorang itu akan kuat beribadat
dan menumpukan sepenuh hatinya kepada Tuhan. Dia benar-benar berharap Tuhan
akan menolongnya mengembalikan apa yang pernah dimilikinya dan dikasihinya.
Tetapi, pertolongan tidak juga sampai kepadanya sehinggalah dia benar-benar
terpisah dari apa yang dimiliki dan dikasihinya itu. Luputlah harapannya
untuk memperolehinya kembali. Redalah dia dengan perpisahan itu. Dia tidak
lagi merayu kepada Tuhan sebaliknya dia menyerahkan segala urusannya kepada
Tuhan. Dia menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t, tidak ada lagi ikhtiar,
pilihan dan kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang hamba Allah s.w.t yang
bertajrid. Apabila seseorang hamba benar-benar bertajrid maka Allah s.w.t
sendiri akan menguruskan kehidupannya. Allah s.w.t menggambarkan suasana
tajrid dengan firman-Nya:
Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya
bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan
Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ( Ayat 60 : Surah
al-‘Ankabut )
Makhluk
Allah s.w.t seperti burung, ikan, kuman dan sebagainya tidak memiliki tempat
simpanan makanan. Mereka adalah ahli tajrid yang dijamin rezeki mereka oleh
Allah s.w.t. Jaminan Allah s.w.t itu meliputi juga bangsa manusia. Tanda
Allah s.w.t meletakkan seseorang hamba-Nya di dalam makam tajrid ialah Allah
s.w.t memudahkan baginya rezeki yang datang dari arah yang tidak diduganya.
Jiwanya tetap tenteram sekalipun terjadi kekurangan pada rezeki atau
ketika menerima bala ujian.
Sekiranya
ahli tajrid sengaja memindahkan dirinya kepada makam asbab maka ini bermakna
dia melepaskan jaminan Allah s.w.t lalu bersandar kepada makhluk . Ini
menunjukkan akan kejahilannya tentang rahmat dan kekuasaan Allah s.w.t.
Tindakan yang jahil itu boleh menyebabkan berkurangan atau hilang terus
keberkatan yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya. Misalnya, seorang ahli
tajrid yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan kecuali membimbing orang ramai
kepada jalan Allah s.w.t, walaupun tidak mempunyai sebarang pekerjaan namun,
rezeki datang kepadanya dari berbagai-bagai arah dan tidak pernah putus tanpa
dia meminta-minta atau mengharap-harap. Pengajaran yang disampaikan kepada
murid-muridnya sangat berkesan sekali. Keberkatannya amat ketara seperti
makbul doa dan ucapannya biasanya menjadi kenyataan. Andainya dia
meninggalkan suasana bertajrid lalu berasbab kerana tidak puas hati dengan
rezeki yang diterimanya maka keberkatannya akan terjejas. Pengajarannya,
doanya dan ucapannya tidak seberkesan dahulu lagi. Ilham yang datang kepadanya
tersekat-sekat dan kefasihan lidahnya tidak selancar biasa.
Seseorang
hamba haruslah menerima dan reda dengan kedudukan yang Allah s.w.t kurniakan
kepadanya. Berserahlah kepada Allah s.w.t dengan yakin bahawa Allah Maha
Mengetahui dan Maha Bijaksana. Allah s.w.t tahu apa yang patut bagi setiap
makhluk-Nya. Allah s.w.t sangat bijak mengatur urusan hamba-hamba-Nya.
Keinginan
kepada pertukaran makam merupakan tipu daya yang sangat halus. Di dalamnya
tersembunyi rangsangan nafsu yang sukar disedari. Nafsu di sini merangkumi
kehendak, cita-cita dan angan-angan. Orang yang baharu terbuka pintu hatinya
setelah lama hidup di dalam kelalaian, akan mudah tergerak untuk meninggalkan
suasana asbab dan masuk ke dalam suasana tajrid. Orang yang telah lama berada
dalam suasana tajrid, apabila kesedaran dirinya kembali sepenuhnya, ikut
kembali kepadanya adalah keinginan, cita-cita dan angan-angan. Nafsu
mencuba untuk bangkit semula menguasai dirinya. Orang asbab perlulah
menyedari bahawa keinginannya untuk berpindah kepada makam tajrid itu mungkin
secara halus digerakkan oleh ego diri yang tertanam jauh dalam jiwanya. Orang
tajrid pula perlu sedar keinginannya untuk kembali kepada asbab itu mungkin
didorong oleh nafsu rendah yang masih belum berpisah dari hatinya. Ulama
tasauf mengatakan seseorang mungkin dapat mencapai semua makam nafsu,
tetapi nafsu peringkat pertama tidak kunjung padam. Oleh yang demikian
perjuangan atau mujahadah mengawasi nafsu sentiasa berjalan.
|
3: KETEGUHAN BENTENG
TAKDIR
|
KEKUATAN SEMANGAT (AZAM, CITA-CITA, IKHTIAR) TIDAK BERUPAYA MEMECAHKAN
BENTENG TAKDIR.
Kalam
Hikmat yang pertama menyentuh tentang hakikat amal yang membawa kepada
pengertian tentang amal zahir dan amal batin. Ia mengajak kita memerhatikan
amal batin (suasana hati) berhubung dengan amal zahir yang kita lakukan.
Sebagai manusia biasa hati kita cenderung untuk menaruh harapan dan
meletakkan pergantungan kepada keberkesanan amal zahir. Hikmat kedua
memperjelaskan mengenainya dengan membuka pandangan kita kepada suasana asbab
dan tajrid. Bersandar kepada amal terjadi kerana seseorang itu melihat kepada
keberkesanan sebab dalam melahirkan akibat. Apabila terlepas daripada waham
sebab musabab baharulah seseorang itu masuk kepada suasana tajrid.
Dua
Hikmat yang lalu telah memberi pendidikan yang halus kepada jiwa. Seseorang
itu mendapat kefahaman bahawa bersandar kepada amal bukanlah jalannya.
Pengertian yang demikian melahirkan kecenderungan untuk menyerah bulat-bulat
kepada Allah s.w.t. Sikap menyerah tanpa persediaan kerohanian boleh
menggoncangkan iman. Agar orang yang sedang meninggi semangatnya tidak
terkeliru memilih jalan, dia diberi pengertian mengenai kedudukan asbab
dan tajrid. Pemahaman tentang makam asbab dan tajrid membuat seseorang
mendidik jiwanya agar menyerah kepada Allah s.w.t dengan cara yang betul dan
selamat bukan menyerah dengan cara yang melulu.
Hikmat ke
tiga ini pula mengajak kita merenung kepada kekuatan benteng takdir yang
memagar segala sesuatu. Ketika membincangkan tentang ahli tajrid, kita dapati
ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Tuhan yang meletakkan keberkesanan
kepada sesuatu sebab dan menetapkannya dalam melahirkan akibat Ini bermakna
semua kejadian dan segala hukum mengenai sesuatu perkara berada di dalam
pentadbiran Allah s.w.t. Dia yang menguasai, mengatur dan mengurus setiap
makhluk-Nya. Urusan ketuhanan yang menguasai, mengatur dan mengurus atau
suasana pentadbiran Allah s.w.t itu dinamakan takdir. Tidak ada sesuatu yang
tidak dikuasai, diatur dan diurus oleh Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada
sesuatu yang tidak termasuk di dalam takdir.
Manusia
terhijab daripada memandang kepada takdir kerana waham sebab musabab.
Kedirian seseorang menjadi alat sebab musabab yang paling berkesan menghijab
pandangan hati daripada melihat kepada takdir. Keinginan, cita-cita,
angan-angan, semangat, akal fikiran dan usaha menutupi hati daripada melihat
kepada kekuasaan, aturan dan urusan Tuhan. Hijab kedirian itu jika
disimpulkan ia boleh dilihat sebagai hijab nafsu dan hijab akal. Nafsu yang
melahirkan keinginan, cita-cita, angan-angan dan semangat. Akal menjadi
tentera nafsu, menimbang, merancang dan mengadakan usaha dalam menjayakan apa
yang dicetuskan oleh nafsu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang baik, akal
bergerak kepada kebaikan itu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang buruk, akal
itu juga yang bergerak kepada keburukan. Dalam banyak perkara akal tunduk
kepada arahan nafsu, bukan menjadi penasihat nafsu. Oleh sebab itulah di
dalam menundukkan nafsu tidak boleh meminta pertolongan akal.
Dalam
proses memperolehi penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t terlebih
dahulu akal dan nafsu perlu ditundukkan kepada kekuatan takdir. Akal mesti
mengakui kelemahannya di dalam membuka simpulan takdir. Nafsu mesti menerima
hakikat kelemahan akal dalam perkara tersebut dan ikut tunduk
bersama-samanya. Bila nafsu dan akal sudah tunduk baharulah hati boleh
beriman dengan sebenarnya kepada takdir.
Beriman
kepada takdir seharusnya melahirkan penyerahan secara berpengetahuan bukan
menyerah kepada kejahilan. Orang yang jahil tentang hukum dan perjalanan
takdir tidak dapat berserah diri dengan sebenarnya kepada Allah s.w.t kerana
disebalik kejahilannya itulah nafsu akan menggunakan akal untuk menimbulkan
keraguan terhadap Allah s.w.t. Rohani orang yang jahil dengan hakikat takdir
itu masih terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan biasa. Dia masih
melihat bahawa makhluk boleh mendatangkan kesan kepada kehidupannya. Tindakan
orang lain dan kejadian-kejadian sering mengacau jiwanya. Keadaan yang
demikian menyebabkan dia tidak dapat bertahan untuk terus berserah diri
kepada Tuhan. Sekiranya dia memahami tentang hukum dan peraturan Tuhan dalam
perkara takdir tentu dia dapat bertahan dengan iman. Hadis menceritakan
tentang takdir:
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah,
apakah iman?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Engkau beriman kepada Allah,
malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan Hari Kemudian.
Juga engkau beriman dengan Qadar baiknya, buruknya, manisnya dan pahitnya
adalah dari Allah s.w.t”. { Maksud Hadis }
Pandangan
kita sering keliru dalam memandang kepada takdir yang berlaku. Kita
dikelirukan oleh istilah-istilah yang biasa kita dengar Kita cenderung untuk
merasakan seolah-olah Allah s.w.t hanya menentukan yang asas sahaja sementara
yang halus-halus ditentukan-Nya kemudian iaitu seolah-olah Dia Melihat
dan Mengkaji perkara yang berbangkit baharulah Dia membuat keputusan. Kita
merasakan apabila kita berjuang dengan semangat yang gigih untuk mengubah
perkara dasar yang telah Allah s.w.t tetapkan dan Dia Melihat kegigihan kita
itu dan bersimpati dengan kita lalu Dia pun membuat ketentuan baharu supaya
terlaksana takdir baharu yang sesuai dengan perjuangan kita. Kita merasakan
kehendak dan tadbir kita berada di hadapan sementara Kehendak dan Tadbir
Allah s.w.t mengikut di belakang. Anggapan dan perasaan yang demikian boleh
membawa kepada kesesatan dan kederhakaan yang besar kerana kita
meletakkan diri kita pada taraf Tuhan dan Tuhan pula kita letakkan pada taraf
hamba yang menurut telunjuk kita. Bagi menjauhkan diri daripada kesesatan dan
kederhakaan yang besar itu kita perlu sangat memahami soal sunnatullah atau
ketentuan Allah s.w.t. Segala kejadian berlaku menurut ketentuan dan
pentadbiran Allah s.w.t. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Ilmu Allah
s.w.t meliputi yang awal dan yang akhir, yang azali dan yang abadi. Apa yang
dizahirkan dan apa yang terjadi telah ada pada Ilmu-Nya.
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di
bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di
dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya;
sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Ayat 22 :
Surah al-Hadiid)
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai
pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu; - ( Ayat 1 : Surah al-Mulk )
Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan
hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); (
Ayat 3 : Surah al-A’laa)
Dan Kami jadikan bumi memancarkan mataair-mataair (di sana sini), lalu
bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara
yang telah ditetapkan. ( Ayat 12 : Surah al-Qamar )
Segala
perkara, tidak kira apa istilah yang digunakan, adalah termasuk dalam
ketentuan Allah s.w.t. Apa yang kita istilahkan sebagai perjuangan, ikhtiar,
doa, kekeramatan, mukjizat dan lain-lain semuanya adalah ketentuan Allah
s.w.t. Pagar takdir mengelilingi segala-galanya dan tidak ada sebesar zarah
pun yang mampu menembusi benteng takdir yang maha teguh. Tidak terjadi perjuangan
dan ikhtiar melainkan perjuangan dan ikhtiar tersebut telah ada dalam pagar
takdir. Tidak berdoa orang yang berdoa melainkan halnya berdoa itu adalah
takdir untuknya yang sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t untuknya. Perkara
yang didoakan juga tidak lari daripada sempadan ketentuan Allah s.w.t. Tidak
berlaku kekeramatan dan mukjizat melainkan kekeramatan dan mukjizat itu
adalah takdir yang tidak menyimpang daripada pentadbiran Allah s.w.t. Tidak
menghirup satu nafas atau berdenyut satu nadi melainkan ianya adalah takdir
yang menzahirkan urusan Allah s.w.t pada azali.
Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami kembali.
Segala
perkara datangnya dari Allah s.w.t atau Dia yang mengadakan ketentuan tanpa
campurtangan sesiapa pun. Segala perkara kembali kepada-Nya kerana Dialah
yang mempastikan hukum ketentuan-Nya terlaksana tanpa sesiapa pun mampu
menyekat urusan-Nya.
Apabila
sudah difahami bahawa usaha, ikhtiar, menyerah diri dan segala-galanya adalah
takdir yang menurut ketentuan Allah s.w.t, maka seseorang itu tidak lagi
berasa bingung sama ada mahu berikhtiar atau menyerah diri. Ikhtiar dan
berserah diri sama-sama berada di dalam pagar takdir. Jika seseorang
menyedari makamnya sama ada asbab atau tajrid maka dia hanya perlu bertindak
sesuai dengan makamnya. Ahli asbab perlu berusaha dengan gigih menurut
keadaan hukum sebab-akibat. Apa juga hasil yang muncul dari usahanya
diterimanya dengan senang hati kerana dia tahu hasil itu juga adalah takdir
yang ditadbir oleh Allah s.w.t. Jika hasilnya baik dia akan bersyukur kerana
dia tahu bahawa kebaikan itu datangnya dari Allah s.w.t. Jika tidak ada
ketentuan baik untuknya nescaya tidak mungkin dia mendapat kebaikan. Jika
hasil yang buruk pula sampai kepadanya dia akan bersabar kerana dia tahu apa
yang datang kepadanya itu adalah menurut ketentuan Allah bukan tunduk kepada
usaha dan ikhtiarnya. Walaupun hasil yang tidak sesuai dengan seleranya
datang kepadanya tetapi usaha baik yang dilakukannya tetap diberi pahala dan keberkatan
oleh Allah s.w.t sekiranya dia bersabar dan rela dengan apa juga takdir yang
sampai kepadanya itu.
Ahli
tajrid pula hendaklah reda dengan suasana kehidupannya dan tetap yakin dengan
jaminan Allah s.w.t. Dia tidak harus merungut jika terjadi kekurangan pada
rezekinya atau kesusahan menimpanya. Suasana kehidupannya adalah takdir yang
sesuai dengan apa yang Allah s.w.t tentukan. Rezeki yang sampai kepadanya
adalah juga ketentuan Allah s.w.t. Jika terjadi kekurangan atau kesusahan
maka ia juga masih lagi di dalam pagar takdir yang ditentukan oleh Allah
s.w.t. Begitu juga jika terjadi keberkatan dan kekeramatan pada dirinya dia
harus melihat itu sebagai takdir yang menjadi bahagiannya.
Persoalan
takdir berkait rapat dengan persoalan hakikat. Hakikat membawa pandangan
daripada yang banyak kepada yang satu. Perhatikan kepada sebiji benih kacang.
Setelah ditanam benih yang kecil itu akan tumbuh dengan sempurna,
mengeluarkan beberapa banyak buah kacang. Buah kacang tersebut dijadikan pula
benih untuk menumbuhkan pokok-pokok kacang yang lain. Begitulah seterusnya
sehingga kacang yang bermula dari satu biji benih menjadi jutaan juta kacang.
Kacang yang sejuta tidak ada bezanya dengan kacang yang pertama. Benih kacang
yang pertama itu bukan sahaja berkemampuan untuk menjadi sebatang pokok
kacang, malah ia mampu mengeluarkan semua generasi kacang sehingga hari
kiamat. Ia hanya boleh mengeluarkan kacang, tidak benda lain.
Kajian
akal boleh memperakui bahawa semua kacang mempunyai zat yang sama, iaitu zat
kacang. Zat kacang pada benih pertama serupa dengan zat kacang pada yang ke
satu juta malah ia adalah zat yang sama atau yang satu. Zat kacang yang satu
itulah ‘bergerak’ pada semua kacang, mempastikan yang kacang akan menjadi
kacang, tidak menjadi benda lain. Walaupun diperakui kewujudan zat kacang
yang mengawal pertumbuhan kacang namun, zat kacang itu tidak mungkin ditemui
pada mana-mana kacang. Ia tidak berupa dan tidak mendiami mana-mana kacang,
tetapi ia tidak berpisah dengan mana-mana kacang. Tanpanya tidak mungkin ada
kewujudan kacang. Zat kacang ini dinamakan “Hakikat Kacang”. Ia adalah
suasana ketuhanan yang mentadbir dan mengawal seluruh pertumbuhan kacang dari
permulaan hingga kesudahan, sampai ke hari kiamat. Hakikat Kacang inilah
suasana pentadbiran Allah s.w.t yang Dia telah tentukan untuk semua kejadian
kacang. Apa sahaja yang dikuasai oleh Hakikat Kacang tidak ada pilihan
kecuali menjadi kacang.
Suasana
pentadbiran Allah s.w.t yang mentadbir dan mengawal kewujudan keturunan
manusia pula dinamakan “Hakikat Manusia” atau “Hakikat Insan”. Allah s.w.t
telah menciptakan manusia yang pertama, iaitu Adam a.s menurut Hakikat Insan
yang ada pada sisi-Nya. Pada kejadian Adam a.s itu telah disimpankan bakat
dan keupayaan untuk melahirkan semua keturunan manusia sehingga hari kiamat.
Manusia akan tetap melahirkan manusia kerana hakikat yang menguasainya adalah
Hakikat Manusia.
Pada
Hakikat Manusia itu ada hakikat yang menguasai satu individu manusia dan hubungkaitnya
dengan segala kejadian alam yang lain. Seorang manusia yang berhakikatkan
“Hakikat Nabi” pasti menjadi nabi. Seorang manusia yang berhakikatkan
“Hakikat Wali” pasti akan menjadi wali. Suasana pentadbiran Allah s.w.t atau
hakikat itu menguasai roh yang berkaitan dengannya. Roh bekerja mempamerkan
segala maklumat yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Kerja roh adalah
menjalankan urusan Allah s.w.t iaitu menyatakan hakikat yang ada pada sisi
Allah s.w.t.
Dan katakan: “ Roh itu dari perkara urusan Tuhanku”. ( Ayat 85 : Surah
Al-Israa’ )
Pentadbiran
Allah s.w.t menguasai roh dan mengheret roh kepada mempamerkan ketentuan-Nya
yang berada pada azali. Allah s.w.t telah menentukan hakikat sesuatu sejak
azali lagi. Tidak ada perubahan pada ketentuan Allah s.w.t. Segala sesuatu
dikawal oleh hakikat yang pada sisi Allah s.w.t. Unta tidak boleh meminta
menjadi kambing. Beruk tidak boleh meminta menjadi manusia. Manusia tidak
boleh meminta menjadi malaikat. Segala ketentuan telah diputuskan oleh Allah
s.w.t.
|
|
sippp oke....
BalasHapus